Monday, 31 August 2009

Salam Merdeka

MERDEKA!!! MERDEKA!!! MERDEKA!!!


Salam Merdeka yang ke-52 untuk semua rakyat Malaysia. Pejam celik pejam celik negara kita dah pon mencapai kemerdekaan yang ke-52 tahun dan sekaligus juga bulan kelahiran aku sendiri iaitu bulan Ogos semakin meninggalkan kita. Bagi aku, banyak kenanagn manis dan pahit yang aku lalui sepanjang bulan Ogos ni. Kenangan yang pahit semestinya akan dilupakan tapi dalam masa yang sama akan dijadikan pengajaran manakala kenangan manis yang aku lalui seperti sambutan hari jadi aku baru baru ni akan tersemat dalam hati dan ingatan aku sampai bila-bila.

Dalam kita menyambut kemerdekaan yang ke-52 ni, apakah makna kemerdekaaan untuk anda sebagai rakyat Malaysia? Dan adakah anda bangga menjadi anak Malaysia? Hanya anda yang mempunyai jawapan untuk soalan-soalan tersebut.


Erti kemerdekaan padaku

Kemerdekaan yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal malahan merangkumi spiritual dan mental. Erti kemerdekaan yang dinikmati ialah membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah. Kekuatan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu didokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara.

Menjadi tanggungjawab rakyat generasi baru hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Tugas kita pada hari ini adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang baru sahaja diperolehi amat rapuh.

Rakyat perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran untuk memperkasakan bangsa yang merdeka. Sementelah seluruh rakyat Malaysia telah melalui pelbagai cabaran getir, kemerdekaan perlu dihayati dan diisi dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa. Segala jurang pembangunan, ekonomi dan sosial di kalangan kaum perlu dirapatkan dan diperkukuhkan agar saling menikmati erti kemerdekaan. Perpaduan yang terbina semenjak usaha memperolehi kemerdekaan perlu diteruskan dan disemai supaya rakyat menjadi semakin kukuh.

Menyelami erti kemerdekaan dengan menyusuri lembaran sejarah bangsa akan menyedarkan seluruh rakyat betapa perjuangan kemerdekaan tidak pernah terhenti. Seharusnya kegemilangan ini menjadi pemangkin kepada generasi baru negara untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai. Pengorbanan generasi terdahulu perlu menjadi inspirasi untuk kita terus berusaha gigih menjadi bangsa yang maju dan moden.



0 comments:

Post a Comment